Resepi Brownies Kedut Sukatan Cawan

MalayaDaily.comResepi Brownies Kedut Sukatan Cawan – Masa ini ramai orang teruja buat brownies kedut. Jika mengikut teknik yang betul, anda akan menghasilkan permukaan brownies yang berkedut cantik. Ramai yang kehairanan kerana boleh mendapatkan permukaan yang berkedut. Untuk mendapatkan kedutan brownies yang cantik, pilihan coklat yang anda gunakan sangat mempengaruhi hasilnya. Kedutan brownies terhasil daripada penggunaan coklat masakan yang banyak dalam sukatan hampir 1/2 kg.

resepi brownies kedut

Brownies kedut adalah jenis kek yang teksturnya lembut dan kaya dengan coklat. Untuk membuat brownies ini, saya menggunakan coklat Beryl’s kerana harganya lebih murah. Anda boleh gunakan coklat couverture atau coklat compound bermutu tinggi lain, seperti Callebout dan Hershey. Cara buat brownies kedut ini pun cukup mudah kerana tidak perlu menggunakan mixer. Saya hanya mengadun dengan senduk kayu sahaja. Adunan tidak boleh dikacau terlalu lama, cukup ia sebati sudah memadai. Penggunaan mixer sesuai untuk menyediakan dalam kuantiti yang banyak, itu pun hanya boleh putar sekejap sahaja hingga adunan sebati. Saya disini menyediakan resepi brownies kedut sukatan cawan. Sukatan cawan memang kurang tepat berbanding sukatan gram, tetapi ini untuk membantu anda yang tiada timbangan di rumah.

Resepi Brownies Kedut

Bahan-bahan

  • 400 gm coklat Beryl’s jenis coins
  • 150 gm mentega (3/5 cawan)
  • 150 gm gula castor (3/5 cawan)
  • 100 gm tepung naik sendiri (3/4 cawan)
  • 30 gm serbuk koko (1/5 cawan)
  • 4 biji telur saiz A
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • secubit garam kasar

Cara buat brownies kedut

  1. Panaskan oven pada suhu 160 C.
  2. Cairkan butter, garam kasar, coklat yang telah dipotong halus menggunakan double boiler atau mircrowave, kacau hingga rata.
  3. Gaul dan ayak tepung bersama serbuk koko.
  4. Satukan telur, gula castor, dan butter cair dalam mangkuk besar.
  5. Masukkan esen vanilla menggunakan senduk kayu dan kacau hingga semua bahan sebati.
  6. Masukkan tepung diselang seli dengan coklat, simpan sedikit coklat untuk dimasukkan akhir sekali dan kacau rata adunan.
  7. Masukkan baki coklat cair dan kacau kaup 3-4 kali menggunakan senduk kayu.
  8. Letakkan adunan ke dalam loyang berukuran 10×10 inci dan masukkan ke dalam oven.
  9. Bakar brownies selama 30-40 minit.
  10. Jika sudah cukup masak, biarkan sekejap brownies dalam oven yang direnggangkan pintunya dalam 10-15 minit.
  11. Angkat dan sejukkan brownies pada suhu bilik selama beberapa jam sebelum dipotong.

Itu sahaja resepi brownies kedut. Jangan terlebih bakar kerana brownies cepat mengeras dan kering. Brownies yang sedap rasanya sedikit moist di dalamnya. Untuk memastikan brownies tidak terbakar terlebih, cucuk kek dengan cake tester. Jika belum masak, bilah tester akan dilumuri adunan, kalau sudah cukup masak hanya ada sedikit sahaja. Brownies kedut boleh tahan selama 4 hari tanpa peti sejuk.

Resepi Brownies Kedut Sukatan Cawan | admin | 4.5