Resepi Ikan Siakap 3 Rasa Ala Thai

MalayaDaily.comResepi Ikan Siakap 3 Rasa Ala Thai – Kalau nak ikutkan hari ini, saya memang tidak ada plan nak masak ikan untuk makan malam. Ikan jenis kecil di kedai hari ini nampak tak segar. Yang ada hanya ikan siakap yang nampak segar. Terfikir hati ini nak buat ikan siakap 3 rasa. Sangat sedap ikan masak 3 rasa ni, apalagi saya menggunakan ikan siakap yang segar.

resepi ikan siakap 3 rasa

Jom layan resepi ikan siakap 3 rasa yang akan saya gunakan hari ini. Sangat berbaloi masak sendiri di rumah, kerana ikan seperti ini pasti mahal harganya jika dimakan di restoran atau kedai makan. Sangat menjimat jika dapat dimasak sendiri, lebih lebih untuk orang ramai. Tidak kalah sedap buatan sendiri dengan buatan chef di restoran. Dan seronok juga melihat anak-anak meratah ikan hingga bahagian perutnya.

Resepi Ikan Siakap 3 Rasa Ala Thai

Bahan-bahan

  • 1 ekor ikan siakap saiz kecil
  • 1 biji bawang besar (dipotong dadu)
  • 1 biji tomato (dipotong dadu)
  • 1/2 biji cili benggala merah (dihiris serong)
  • 1/2 biji cili benggala kuning (dihiris serong)
  • 1/2 biji cili benggala hijau (dihiris serong)
  • 1/2 biji timun (dipotong dadu)
  • 1 tin kecil cendawan butang
  • serbuk kunyit
  • garam

Bahan sos

  • 3 ulas bawang putih (dihiris)
  • 8 biji cili padi (diketuk)
  • 3 biji cili merah (dihiris)
  • 2 batan serai (dititik)
  • 1 batang bunga kantan (dipotong kecil)
  • 1 cm halia (dihiris kasar)
  • 1/2 cawan sos tomato
  • 1 sudu makan sos cili
  • 1 sudu makan sos ikan
  • 4 helai daun limau purut
  • air secukupnya
  • garam dan gula secukupnya

Cara masak ikan siakap 3 rasa ala thai

  1. Gaul ikan siakap bersama garam dan serbuk kunyit.
  2. Goreng ikan hingga kekuningan, angkat dan ketepikan.
  3. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, serai, halia, dan cili padi hingga naik bau.
  4. Masukkan daun limau purut, bunga kantan dan sos cili, kacau hingga sebati.
  5. Masukkan sos ikan dan air secukupnya.
  6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa dan biarkan seketika.
  7. Masukkan bawang besar, tomato, cili benggala merah, cili benggala kuning, cili benggala hijau, timun, dan cendawan butang.
  8. Kacau sedikit, biarkan lembut dan pecah minyak.
  9. Akhir sekali, tuang sos ke atas ikan siakap yang telah digoreng.

Itu sahaja resepi ikan siakap 3 rasa ala Thai. Anak saya komplen kerana saya meletakkan banyak sayuran dalam resepi diatas. Saya kan tak nak membazir hanya guna separuh tomato, timun, dsb. Oleh itu, saya campakkan sahaja 1 biji semua, jadi semua banyak meratah sayur. Ada juga lah hikmah dalam kesihatan masakan.

Resepi Ikan Siakap 3 Rasa Ala Thai | Malaya Daily | 4.5