Resepi Nasi Ayam Hainan

MalayaDaily.comResepi Nasi Ayam Hainan memang menjadi masakan favourite keluarga saya. Semua suka makan nasi ayam yang mempunyai tekstur ayam dan nasi yang lembut daripada nasi ayam original. Masakan ini bermula daripada kaum cina Hainan. Nasi ayam ini penuh aroma sebab ditumis dengan bawang putih, halia dan rebusan ayam. Macam biasa, tidak lengkap hidangan nasi ayam hainan tanpa sos dan sup.

resepi nasi ayam hainan

Resepi ini saya dapatkan merata, daripada youtube, blog dan buku masakan. Disini saya cuba gandingkan beberapa kaedah. Masak nasi ayam hainan tidak perlu dibakar atau digoreng.  Walaupun hanya direbus, tetapi bukan kaedah rebus ayam biasa. Anda mesti merebus ayam kemudian direndam ais sekejap dan sambung rebus lagi, berulang kali anggaran 4-5 kali hingga ayam masak didalamnya. Bila rasa malas nak buat macam itu, boleh rebus sekali sahaja. Rebus ayam hingga masak dan masukkan dalam air ais sejuk. Hasilnya ayam menjadi halus dan mulus.

Resepi Nasi Ayam Hainan

Bahan-bahan

  • 4 pot beras
  • 2 kiub ayam
  • 2-3 biji buah pelaga
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 6 cawan air rebusan ayam
  • 1/3 cawan minyak masak
  • daun pandan (disimpul)

Bahan kisar

  • 6 ulas bawang merah
  • 6 ulas bawang putih
  • 2 inci halia

Cara masak nasi ayam hainan

  1. Tumis semua bahan kisar, bunga lawang, buah pelaga, dan daun pandan hingga wangi.
  2. Masukkan air rebusan ayam dan biarkan hingga mendidih.
  3. Masukkan garam secukup rasa.
  4. Masukkan beras dan masak nasi seperti biasa.

Bahan sup

  • air rebusan ayam
  • lada sulah
  • daun sup
  • garam secukup rasa

Cara buat sup

  1. Panaskan air rebusan ayam, tambahkan air jika terlalu pekat.
  2. Masukkan lada sulah dan garam secukup rasa.
  3. Taburkan daun sup diatasnya.

Bahan sos kicap

  • kicap secukupnya
  • sedikit lada sulah
  • sedikit minyak bijan
  • sedikit air rebusan sup

Cara buat sos kicap

  • Campurkan semua bahan dan sesuaikan kepekatan sesuai selera.

Bahan sos cili

  • 6 biji cili merah (dibelah dan dibuang bijinya)
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • sedikit cuka
  • sedikit air rebusan ayam
  • garam dan gula secukup rasa

Cara buat sos cili

  1. Kisar cili merah, bawang putih, halia, dan air rebusan ayam hingga halus.
  2. Tambahkan garam dan gula secukup rasa.

Itu sahaja resepi nasi ayam hainan. Untuk mendapatkan kulit ayam yang cantik, kita perlu scrub kulit ayam dengan garam kasar guna membersihkan bahagian luar dari bulu halus, kekotoran, dan sel-sel mati. Kulit ayam turut berubah bila sudah digosok dengan garam dan kelihatan lebih gebu.

Resepi Nasi Ayam Hainan | admin | 4.5