Resepi Onde Onde / Buah Melaka

MalayaDaily.comResepi Onde Onde / Buah Melaka – Apabila menyebut onde onde, anda mesti terbayang suasana bulan Ramadhan. Ramai yang berniaga kuih onde onde di pasar Ramadhan. Onde onde juga dikenali dengan kuih buah melaka kerana menggunakan gula melaka sebagai inti. Tapi kita boleh tengok ada sesetengah peniaga yang meniadakkan keaslian onde onde dengan tak meletakkan gula melaka sebagai inti, hanya meletakkan gula putih. Apalagi adunan melebihkan tepung gandum dan taburan menggunakan kelapa tua. Tak berselera untuk habiskan onde onde macam itu.

resepi onde onde

Apabila sudah sebut kuih melaka, mestilah menggunakan gula melaka sebagai inti. Tapi kita boleh tukar gula melaka dengan gula anau. Gula anau ini popular digunakan di Kuala Pilah. Gula anau berasal daripada nira pokok anau. Kesedapan gula anau memang berbeza daripada gula lain. Dengan menggunakan resepi buah melaka ini, anda boleh buat sendiri di rumah dan tak payah beli lagi. Bahan-bahan yang digunakan dalam resepi ini untuk kuantiti 20-30 biji.

Resepi Onde Onde

Bahan-bahan

  • 2 cawan tepung pulut (beras pulut)
  • 1 ketul gula melaka
  • 2 sudu makan tepung gandum
  • 1 sudu teh garam
  • 2-3 helai daun pandan (untuk rebusan)
  • 7-10 helai daun pandan (dikisar dan buat jus pandan)
  • 1/2 biji kelapa parut

Cara buat kuih onde onde

  1. Satukan tepung pulut dan tepung gandum, lalu adun membentuk doh dengan menambahkan jus pandan sedikit demi sedikit.
  2. Pastikan doh tidak melekat di tangan.
  3. Apabila doh sudah siap, rebus air dalam periuk bersama daun pandan hingga mendidih.
  4. Potong halus gula melaka.
  5. Ambil doh saiz sesuai selera, gentel sekejap dan leperkan.
  6. Masukkan potongan gula melaka dan gentel balik doh.
  7. Ulangi cara hingga semua doh habis.
  8. Masukkan onde onde ke dalam air mendidih.
  9. Rebus hingga onde onde yang tenggelam muncul di permukaan air.
  10. Angkat dan toskan.
  11. Akhir sekali, lumurkan kuih ke dalam campuran kelapa parut dan garam.

Mudah kan cara buat resepi onde onde diatas? Tunggu sejuk dan onde onde siap dimakan. Untuk mendapatkan kuih onde onde yang sedap, minta penjual untuk gunakan isi kelapa yang sedikit muda dan hanya ambil bahagian putih sahaja. Jika mahu susun di dulang, pastikan dulang telah ditabur sedikit tepung gandum untuk mengelakkan kuih melekat.

Resepi Onde Onde / Buah Melaka | | 4.5